Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Penumpang belakang maut



JOHOL – Seorang remaja lelaki yang juga penumpang di bahagian belakang maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 17 Jalan Tampin-Kuala Pilah kira-kira jam 4.35 petang, kelmarin.

Manakala pemandu dan dua lagi penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk mendapat rawatan.

Pemandu lori, Osman Karim, 50, berkata, ketika tiba di selekoh Kampung Tering, dia sempat menekan brek lorinya, namun tetap melanggar dengan kereta itu yang melintang di tengah jalan.

Menurutnya, dia dari bengkel yang terletak di Renggoh untuk ke Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, ketika tiba di selekoh itu, dia nampak kereta itu hilang kawalan dan masuk arah bertentangan.

“Saya cuba mengelak tetapi tidak berjaya lalu terlanggar bahagian sisi kiri belakang kereta berkenaan.

“Saya percaya, seorang penumpang bahagian belakang kanan tercampak ke dalam semak, manakala seorang lagi terperosok di kerusi belakang. Pemandu cedera parah dan seorang perempuan yang berada di kerusi hadapan cedera,” katanya.

Katanya, dia dan dua kelindan hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Tampin hilang kawalan semasa melalui selekoh.

Menurutnya, selepas itu, kereta berkenaan terbabas ke kanan dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, lori yang datang dari arah Tampin menghala ke Kuala Pilah tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa. Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan terbabas ke dalam semak dan remuk di bahagian sebelah kiri.

“Mangsa yang meninggal dunia dikenali Abdullah Hinmi Md Hashim, 17, beralamat Kuala Sungai Tebong Melaka kerana mengalami cedera di bahagian kepala dan badan,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment