Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Penjaga masjid mengaku salah miliki mercun

KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Seorang warga emas berusia 62 tahun yang juga penjaga masjid didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api pada Ahad lalu.
Mohamad Salleh yang memakai jaket putih mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang-barang tersebut di rumah No. 797, Kampung Losong Haji Mat Shafiee dekat sini kira-kira pukul 4.55 pagi, 7 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa memiliki beberapa jenis mercun dan bunga api termasuk mercun bola sebanyak lapan bungkus, pop-pop (tujuh kotak), butterflies (lapan kotak), dragon eggs(sekotak), fire rose (29 kotak), '020' (36 batang), 'no8801A' (sekotak), 'PTL4016A' (lima unit) dan 'a016' (12 batang).
Mohamad didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Abdul Hayyi membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 September ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mikiy Dunstan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.-utusan

No comments:

Post a Comment