Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Pemungut madu kena sebat salah guna kereta majikan



AYER KEROH – Gara-gara menyalahgunakan kereta majikan, seorang pemungut madu dihukum penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, V P Ramesh, 24, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah atas pertuduhan kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi.

Berdasarkan pertuduhan, Ramesh didapati dengan curang menyalahgunakan kereta Toyota Avanza dengan nombor pendaftaran WNQ 2761 milik majikannya, K Nacheammah, 52, bagi kegunaan diri sendiri.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di No. 48, Jalan BBP 3, Taman Batu Berendam Putra, Batu Berendam kira-kira jam 1 pagi pada 27 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan sebat dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa tidur bersama ahli keluarganya di rumah dan pada masa sama, tertuduh turut berada di dalam rumah berkenaan.

Mangsa kemudian terjaga daripada tidur dan memeriksa rumah lalu mendapati kereta miliknya tiada di garaj dan mengesyaki dilarikan tertuduh setelah mendapati tertuduh tiada di dalam rumah.

Keesokan harinya, kira-kira jam 6 petang, mangsa dan seorang ahli keluarganya keluar mencari kereta tersebut sehingga ke Negeri Sembilan sebelum menjumpainya berhampiran sebuah sekolah di Kuala Pilah.

Apabila mangsa mendekati, didapati tertuduh berada di dalam kereta tersebut dan mangsa terus menghubungi polis.SH

No comments:

Post a Comment