Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Pemain bola cedera main mercun

MAILANG Sari menunjukkan tangan kiri Mohd. Nazirul Hasif yang terkena
 mercun buatan sendiri di Hospital Raja Perempuan Zainab II,
Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/Yatimin Abdullah

KOTA BHARU 9 Ogos – Kreativiti seorang pemain bola sepak kebangsaan bawah 12 tahun membuat mercun buatan sendiri menggunakan pemula lampu kalimantan dan mercun bola mengundang padah apabila tiba-tiba ia meletup mengakibatkan mangsa melecur.
Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa, Mohd. Nazirul Hasif Mailang yang mewakili negara dalam Piala Asia di Jepun bulan lalu, bernasib baik apabila hanya kuku di jari manis kirinya tercabut manakala tiga lagi kuku jari kirinya hampir tertanggal.
Anak sulung daripada empat beradik itu juga cedera di bahagian pipi, telinga serta mendapat tiga jahitan di lengan tangan kanan.
Ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dekat sini hari ini, Mohd. Nazirul Hasif berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang membuat mercun sendiri dengan menggunakan pemula lampu kalimantang dan mercun bola.
“Saya beli mercun bola berharga RM2, kemudian saya ambil pemula lampu dan menebuk bahan itu untuk disumbat dengan belerang dan sumbu mercun bola itu.
“Selepas itu, saya memanaskan dawai dan cucuh ke dalam pemula lampu itu, namun tiba-tiba ia meletup tanpa saya sempat melarikan diri,” katanya.
Selain Mohd. Nazirul Hasif, seorang adiknya yang kebetulan berada berhampiran turut cedera ringan terkena serpihan letupan itu.
Mohd. Nazirul Hasif memberitahu, dia belajar membuat mercun daripada rakan-rakannya dan ia bukanlah mercun buatannya yang pertama.
Sementara itu, bapanya, Mailang Sari, 38, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang berbuka puasa di warung berkenaan.
“Ketika kejadian saya dan isteri, Zuraidah Kamaruddin, 36, bersama empat anak termasuk mangsa sedang berbuka puasa di hadapan warung.
“Mohd. Nazirul Hasif yang selesai dahulu makan dilihat tergesa-gesa masuk ke bahagian dapur warung dan beberapa minit selepas itu kami terdengar bunyi letupan dan dentuman kuat dari dapur menyebabkan kami bergegas masuk,” katanya.
Sejurus masuk ke dapur, dia terkejut melihat anaknya itu berdiri dengan pakaian dipenuhi darah serta beberapa peralatan untuk membuat mercun bertaburan.
Mailang berkata, dia membawa Mohd. Nazirul Hasif ke Hospital Tumpat tetapi dirujuk ke HRPZ II kerana kecederaannya agak serius namun dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.-utusan

No comments:

Post a Comment