Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Pejabat Wei Aik disimbah cat



GEORGETOWN- Dipercayai ada kena mengena dengan keadaan politik yang berlaku sekarang, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik sekali lagi dikhianati dengan simbahan cat.

Wei Aik berkata, kejadian yang berlaku awal pagi kelmarin itu adalah kali kedua selepas pejabatnya di simbah cat berwarna hijau Jun lalu.

“Selain pejabat saya, Ibu Pejabat DAP negeri juga mengalami nasib yang sama namun kali ini disimbah dengan cat berwarna merah dan jingga awal pagi tadi (semalam). Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.20 pagi tadi (semalam).

“Saya menyedari kejadian ini selepas menerima panggilan daripada setiausaha saya kira-kira jam 1.25 pagi dan saya terus bergegas ke pejabat. Sebaik sahaja tiba di pejabat, saya lihat cat merah disimbah pada papan tanda pejabat manakala cat jingga disimbah pada pintu hadapan pejabat,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan pelaku adalah orang yang sama melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu sebelum ini.

“Saya rasa mungkin orang yang sama menyimbah cat pada pejabat saya dan Ibu Pejabat DAP dengan berkemungkinan mereka ada agenda politik dan menjadikan ahli politik sebagai sasaran.

“Saya sudah pun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL) Pulau Pinang dan berharap polis dapat mengambil tindakan segera agar kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.

Difahamkan kejadian yang berlaku jam 1.20 pagi itu dilakukan oleh enam orang yang menaiki tiga motosikal dan terus membaling bungkusan plastik yang berisi cat pada kedua-dua premis terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Kita sedang menjalankan siasatan sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan jenayah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment