Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Panik kereta dihempap pokok



BAGAN AJAM - Tiga beranak mengalami detik cemas apabila kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang ketika melalui Jalan Bagan Ajam di sini, petang semalam.

Bagaimanapun kejadian yang berlaku pada jam 3.20 petang ketika hujan lebat yang disertai angin kencang di kawasan berkenaan tidak menyebabkan Sira Shanmugam, 56; isterinya, Susila Dewi, 46, dan anak perempuan mereka S Neesha, 20, mengalami sebarang kecederaan.

Akibat kejadian terbabit, kereta Proton Saga Iswara milik Pembantu Pegawai Tadbir Hospital Pulau Pinang itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan selepas dihempap pokok yang tumbang itu.

Ketika ditemui, Sira berkata, dia dalam perjalanan ke pekan Kepala Batas bersama ahli keluarganya sebaik keluar dari rumahnya di Pangsapuri Aked, Sungai Puyu sebelum itu.

“Ketika itu cuaca amat buruk berikutan hujan lebat yang turut diselang seli dengan angin kencang.

“Sebaik tiba di berhampiran pondok menunggu bas berdekatan Sekolah Kebangsaan Teluk Air Tawar, tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menghempap kereta dipandu saya membuatkan kami panik dan terkejut,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan dibasahi hujan dia dan ahli keluarganya berlari keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang dirempuh kenderaan dari belakang berikutan keretanya berada di atas jalan.

Katanya, dia kemudian menghubungi polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia yang kemudiannya tiba membantu mengawal trafik dan memotong pokok berkenaan.SH

No comments:

Post a Comment