Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Padah seludup minyak



TUMPAT – Dua lelaki dipercayai penyeludup lari lintang pukang dan menghilangkan diri selepas kereta Proton Saga dilengkapi tangki tambahan dinaiki mereka terbakar ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di kampung Kepulau, Palekbang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang, dua lelaki itu dipercayai mengisi petrol ke dalam sebuah tangki tambahan yang diletakkan di dalam bonet kereta terbabit sebelum kereta itu terbakar.

Akibat kebakaran itu, dua lelaki itu melecur di betis manakala seorang lagi terbakar di bahagian rambut selain api yang marak berpunca dari saluran tangki minyak nyaris menyambar pam minyak di stesen tersebut.

Seorang saksi, Ketua Plantun Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Bahrun Daud, berkata, suasana agak panik apabila kereta itu terbakar sedangkan ketika kejadian ramai pelanggan sedang mengisi minyak di stesen terbabit.

“Api tiba-tiba muncul dari saluran tangki minyak dengan maraknya menyebabkan suasana menjadi kecoh dengan jeritan orang ramai, namun dengan pertolongan daripada orang ramai, kereta yang terbakar ini berjaya ditolak ke kawasan lapang bagi mengelakkan kebakaran ini merebak ke pam minyak,” katanya.

Menurutnya, kereta ini sering kelihatan berulang-alik mengisi minyak di sini setiap kali dia bertugas mengawal di stesen minyak ini untuk mencegah penyeludupan minyak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaakob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.45 sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama lima anggota dan sebuah jentera bagi memadam kebakaran.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak membakar kereta terbabit dan anggota bomba mengambil masa lima minit memandam kebakaran itu daripada terus merebak.

“Kereta itu hangus terbakar dan pemeriksaan lanjut menjumpai tangki tambahan di dalam kereta terbabit,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment