Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Musibah awal Ramadan

BUKIT PAYONG – Keluarga Mustafa Abu Bakar, 56, berdepan keadaan amat menyedihkan untuk menunaikan ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri tahun ini apabila rumah mereka di Kampung Sungai, Atas Tol, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Kejadian kebakaran itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika Mustafa yang juga dikenali sebagai Pok Pa berada di rumah tersebut.

“Saya berada di ruang tamu bersama cucu, Mohd Fariz Fariza Faisal, 3, dan sedang bersiap untuk keluar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mustafa berkata, sebaik ingin melangkah keluar dari rumah dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah dapur lalu masuk semula ke dalam rumah dengan meninggalkan cucunya di ruang tamu, manakala dia terus meluru masuk ke dapur.

Namun menurutnya, sebaik tiba di dapur, dia melihat api sudah marak dan merebak dengan begitu cepat. Tanpa berlengah, bapa enam anak ini terus keluar lalu mendapatkan cucu yang ditinggalkan di ruang tamu sebelum keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

“Dalam kejadian itu, semua peralatan perabot dan elektrik di rumah hangus. Saya sangat sedih kerana semua hasil titik peluh kami sekeluarga termasuk hasil wang bekerja sebagai pemandu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) musnah dalam sekelip mata.

“Rumah ini juga terbina daripada hasil wang hasil titik peluh arwah mentua sebanyak RM25,000 yang diberikan kepada isteri saya. Kini tiada apa lagi yang tinggal, saya pula sudah bersara jad terpaksa menumpang di rumah anak sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Mustafa yang mempunyai enam anak tinggal di rumah itu bersama isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, dan dua anak, Mohd Taufiq, 31, dan Siti Fatimah, 28, manakala empat lagi anaknya sudah berumah tangga dan tinggal berdekatan dengan rumahnya yang musnah itu.

Ditanya mengenai kerugian, Mustafa menganggarkan kerugian yang ditanggung adalah RM100,000 dan punca kejadian kebakaran juga masih dalam siasatan pasukan Bomba dan Penyelamat daerah Kuala Terengganu.

Pihak berkuasa itu ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda, yang dimaklumkan mengenai musibah dialami keluarga Mustafa, turut melawat lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan peribadi bagi meringankan beban mangsa.SH

No comments:

Post a Comment