Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Merokok dalam jamban

GEORGETOWN – Seorang warga emas sanggup tidak berpuasa dengan merokok di dalam tandas.

Perbuatan liciknya itu bagaimanapun berjaya dikesan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) yang ketika itu sedang melakukan pemeriksaan di sebuah tandas awam dekat Jalan Perak.

Warga emas berusia 60 tahun dari kampung berdekatan lokasi yang ditahan itu membuat pengakuan hanya merokok kerana semput.

Kemudiannya seorang PPA JAIPP pula mengatakan kepada warga emas itu sekiranya merokok, keadaan akan lebih teruk dan akan lebih semput.

Namun warga emas itu hanya tersipu-sipu sambil membetulkan seluarnya kerana baru sahaja keluar daripada tandas.

Ketika pemeriksaan, penguat kuasa terpaksa menunggu hampir 5 minit di luar tandas berikutan warga emas itu masih berada dalam bilik air.

Semasa ditahan dia lengkap berpakaian dan juga bersongkok, namun didapati di celahan songkoknya terdapat beberapa rokok daun.

Warga emas itu berkata, dia pernah menghadapi hukuman penjara dan juga sebat tidak lama dulu.

Dalam pada itu, dia juga gagal membawa kad pengenalan berikutan ketika diperiksa dia gagal menunjukkannya kepada penguat kuasa.

Difahamkan, dia yang sudah pun bercerai mempunyai seorang anak berusia 20-an serta dipercayai tinggal bersendirian di sebuah kampung sekitar Georgetown.

PPA JAIPP kemudiannya mengeluarkan notis terhadap warga emas itu mengikut Seksyen 15 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1996 atas kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau tidak lebih enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.SH

No comments:

Post a Comment