Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Mayat dikerat-kerat: Polis tidak tolak motif cinta, cemburu



SHAH ALAM 9 Ogos - Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat di sebuah unit pangsapuri di Ampang minggu lalu, disebabkan cinta dan cemburu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya telah menyoal lebih 100 individu termasuk jiran mangsa dan 40 daripadanya direkod keterangannya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai hubungan antara suspek dan mangsa.
"Perkara itu masih dalam siasatan dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Tun Hisan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, suami mangsa hanya menyedari kehilangan isterinya selepas dia tidak pulang ke rumah pada 29 Julai lalu.
"Pada hari mangsa dipercayai hilang iaitu pada Jumaat, dia dikatakan sedang bercuti dan tidak bekerja," katanya.
Mengenai mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di tempat yang sama pada hari berkenaan, Tun Hisan berkata, perkara itu masih di dalam siasatan pihak forensik.
"Ada maklumat mengatakan mayat kanak-kanak itu adalah anak mangsa tetapi kita sedang siasat dengan lebih terperinci bagi mengesahkannya," ujarnya.
Pada 3 Ogos lalu, beberapa keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus ditemui dalam beberapa beg plastik di dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.
Selepas siasatan awal, polis mengesahkan kesemua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki.-utusan

No comments:

Post a Comment