Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Lori terbabas langgar saluran paip



PARIT MESJID - Sebuah lori sarat muatan bahan binaan terbabas sehingga mengakibatkan saluran paip bawah tanah pecah di hadapan sebuah sekolah di Jalan Pontian, Parit Mesjid, kelmarin.

Saksi kejadian, Nor Ani Rahman, 38, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam itu hanya disedari selepas dia terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumahnya.

“Ketika itu, kami sekeluarga baru sahaja selesai berbuka dan dikejutkan dengan bunyi dentuman seperti tayar lori meletup dari luar rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, dia dan anaknya kemudian keluar dari rumah yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi kejadian dan mendapati sebuah lori terbabas ke bahagian tepi jalan berkenaan.

Nor Ani berkata, tidak lama selepas itu, pancutan air dari bahagian bawah saluran paip keluar dan mencurah di atas jalan raya.

Menurutnya, kawasan berkenaan sering dijadikan lokasi lori muatan berat meletak kenderaan tetapi amat bahaya kerana keadaan tanah di situ tidak seimbang dan sering berlaku kejadian tanah jerlus.

“Sebelum ini banyak projek pembinaan seperti sekolah di kawasan sekitar Parit Mesjid menyebabkan banyak lori bahan binaan lalu di kawasan ini dan menjadikan ia lokasi meletakkan lori,” katanya.

Manakala, Nor Azwa Mohammad, 28 berkata, selepas kejadian berkenaan, bekalan air ke rumahnya yang terletak di Parit Mesjid, terputus.

“Bermula dari jam 10 malam tadi (kelmarin) sehingga pagi ini (semalam), bekalan air ke rumah kami terputus dan menyukarkan kerja seharian,” katanya.

Menurutnya, aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan bagi membolehkan bekalan air disambung segera.

Sementara itu, Jurucakap Syarikat Air Johor (SAJ) Cawangan Pontian ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah sedia maklum berhubung permasalahan berkenaan.

Menurutnya, kerja sambungan saluran paip telah dimulakan dan bekalan air sudah boleh dinikmati penduduk seperti biasa bermula pada jam 3 petang, semalam.SH

No comments:

Post a Comment