Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Lori isi khinzir, berekor anjing



KULAIJAYA – Kehadiran lori yang sarat dengan muatan khinzir seawal jam 9 pagi di laluan lebuh raya menimbulkan tanda tanya dan ketidakselesaan dalam kalangan pengguna jalan raya terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Salah seorang pengguna jalan raya, yang ingin dikenali sebagai Affendi, 26, berkata, dia terkejut apabila ternampak sebuah lori yang sarat dengan muatan khinzir berada di hadapan kenderaannya ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Ketika itu saya sedang menghampiri kawasan rehat Kulaijaya kira-kira jam 9 pagi untuk ke tempat kerja melalui laluan lebuh raya seperti biasa dan ternampak lori berkenaan yang agak mencurigakan.

“Pada mulanya saya sangkakan haiwan mungkin adalah kambing namun apabila saya memintas lori berkenaan saya dapati terdapat beberapa ekor khinzir di dalam sangkar yang disusun secara bertingkat,” katanya.

Affendi berkata, tambah mencurigakan apabila pada bahagian belakang lori berkenaan terdapat ekor seakan-akan ekor anjing yang dipercayai sengaja diletakkan untuk mengaburi pandangan pengguna jalan raya lain.

“Saya berasa pelik mengapa lori yang sarat dengan muatan khinzir berada di atas jalan raya pada waktu siang sedangkan lori yang membawa khinzir hanya dibenarkan beroperasi pada waktu malam.

“Mungkin pemandunya tidak mahu aktivitinya membawa muatan yang sarat dengan khinzir pada waktu siang disedari oleh orang ramai lalu dia bertindak meletakkan ekor palsu berkenaan di belakang lori,” katanya.

Selain itu katanya, beliau turut terserempak dengan lori yang membawa muatan khinzir di laluan berkenaan beberapa bulan lalu namun tidak memandang serius mengenai perkara itu sehinggalah kejadian sama berulang lagi pada hari pertama umat Islam berpuasa.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat menjalankan pemantauan berhubung perkara berkenaan agar tidak mengganggu keselesaan pengguna jalan raya khususnya penganut agama Islam.
SH

No comments:

Post a Comment