Search This Blog

Friday, August 5, 2011

Kes kecurian selesai dua jam



JERANTUT – Niat untuk bergembira menjelajah Malaysia, bertukar menjadi pengalaman buruk apabila seorang pelancong asing dari Perancis, terpaksa berdepan detik cemas kehilangan barang berharga dalam satu kes kecurian lewat malam semalam.

Mangsa, Julie Dordilly,26, berkata, ketika kejadian sekitar jam 7.45 petang itu, dia sedang melayari internet di lobi sebuah hotel murah di Bandar Jerantut, manakala rakannya menonton televisyen.

Menurutnya, dia melakukan pembayaran pengguna internet bagi sejam pertama, namun ketika menyeluk poket beg bagi mengambil beg duit untuk pembayaran internet jam berikutnya, dia mendapati beg duitnya tiada.

“Puas kami mencari namun saya tidak berjumpa menyebabkan saya mengambil tindakan melaporkan kehilangan beg duit, duit, serta dokumen penting di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

“Sepatutnya saya ke Taman Negara hari ini (semalam), namun disebabkan kehilangan wang dan dokumen penting, saya terpaksa menangguhkan perjalanan,” katanya ketika ditemui media, di Bilik Gerakan IPD Jerantut semalam.

Julie berkata, kejadian kecurian yang menimpanya itu adalah pengalaman pertama dilalui, namun gembira atas kecekapan polis Jerantut yang tangkas menyelesaikan kesnya.

Menurutnya, dia amat gembira atas keprihatinan ditunjukkan PDRM yang bertungkus lumus mengesan suspek dan mendapatkan semula barangannya dalam tempoh dua jam dari waktu kejadian.

“Terima kasih kepada PDRM khususnya Jerantut yang berjaya menyelesaikan kes saya. Ini pengalaman pertama saya bekerjasama dengan polis Malaysia dan terharu atas kesungguhan mereka membantu pelancong luar seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintenden Zakaria Kassim berkata, kes kecurian membabitkan pelancong asing itu adalah kes pertama dicatatkan berlaku tahun ini, dengan suspek terlibat juga berjaya diberkas.

“Polis mengambil masa tiga jam untuk meneliti semula rakaman CCTV hotel tersebut dan dapat mengecam suspek yang tidak menutup muka, mengambil barangan dari beg mangsa yang diletakkan berdekatan mangsa.

“Hasil kepantasan anggota dan maklumat orang ramai, suspek berjaya diberkas di kediamannya sekitar jam 3.30 pagi bersama barangan yang dicuri,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment