Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Kereta langgar dinding rumah



KUALA PILAH – Empat beradik yang leka menonton televisyen petang kelmarin, menghadapi detik cemas apabila sebuah kereta melanggar dinding rumahnya di Kilometer (KM) 3 Jalan Kuala Pilah - Bahau di Kampung Kuala Gentam.

Nor Shahirah Abdullah, 16, bersama adiknya, Nor Shahidah Ramli, 14; Nor Shakimi Ramli, 10 dan Nor Shaliah, 9, terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari luar rumah kira-kira jam 3.30 petang.

Nor Shahirah berkata, ketika itu dia sedang menonton televisyen bersama adik-adiknya sementara ibu mereka bekerja di sebuah stesen minyak berhampiran rumah.

Menurutnya, mereka dikejutkan dengan dentuman kuat dari luar hingga menyebabkan dinding rumah di bahagian ruang tamu pecah.

“Saya bergegas keluar rumah dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira terperosok dan melanggar dinding selepas merempuh pagar rumah.

“Saya dan adik membantu mangsa cedera. Orang ramai yang kebetulan lalu turut menghulurkan bantuan. Terdapat enam orang di dalam kereta itu dan pemandu serta penumpang di bahagian hadapan cedera akibat terkena serpihan kaca bahagian depan kereta manakala penumpang lain cedera ringan,” katanya.

Sementara menurut ibu Shahirah, Roslina Rosli, 36, dia hanya mendapat tahu rumahnya dilanggar kereta setelah diberitahu rakan sekerja.

Menurutnya, rumahnya berhadapan dengan tempat kerja dan setelah dimaklumkan rakan setugas, dia terus bergegas ke rumah serta terkejut melihat rumah teruk dilanggar kereta.

“Saya dimaklumkan oleh saksi bahawa Proton Wira itu terbabas setelah mengelak bas yang memberhentikan penumpang dari arah Bahau.

“Pada masa sama, sebuah lori dari arah sama tidak sempat menekan brek lalu melanggar Proton Wira yang berada di hadapannya manakala kereta itu pula cuba mengelak dari melanggar bas lalu terbabas ke kiri jalan hingga melanggar rumah saya,” katanya.

Roslina yang juga seorang ibu tunggal berkata, bersyukur kerana anak-anaknya terselamat, namun sedih melihat rumahnya yang rosak teruk.

“Aidilfitri tahun ini nampaknya terpaksa disambut ala kadar setelah melihat keadaan rumah yang rosak.

“Buat masa ini saya akan memasang kanvas bagi menggantikan dinding kerana bimbang dimasuki hujan. Saya reda dengan dugaan ini dan bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment