Search This Blog

Tuesday, August 30, 2011

Kemalangan kerap jam 2 hingga 4 petang


KHALID beramah mesra dengan anggota trafik yang bertugas ketika melawat Ops Sikap Ke-24 Sungai Buloh, semalam.
KHALID beramah mesra dengan anggota trafik yang bertugas ketika melawat Ops Sikap Ke-24 Sungai Buloh, semalam.

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar nahas jalan raya sepanjang musim perayaan terutama kemalangan maut dikenal pasti berlaku antara jam 2 hingga 4 petang, dipercayai akibat keletihan dan keadaan cuaca, selain kecuaian sendiri atau pengguna lain.

Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengingatkan orang ramai mendapat cukup rehat sebelum memulakan perjalanan ke kampung bagi memastikan tumpuan sepenuhnya ketika memandu, selain lebih berhati-hati ketika hujan.
“Ops Sikap Ke-24 menunjukkan peningkatan 22 peratus dari segi jumlah nahas sejak dilancarkan pada 23 Ogos lalu, berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala angka kematian meningkat 26 peratus.
“Seramai 117 nyawa melayang hanya dalam tempoh enam hari operasi dilancarkan, dengan 71 daripadanya membabitkan penunggang motosikal.

“Ini cukup membimbangkan, lebih-lebih lagi 40 peratus kemalangan berlaku di Jalan Persekutuan yang jelas menunjukkan bukan semua pengguna yang ingin balik kampung terbabit dalam kemalangan tetapi pengguna yang biasa menggunakan laluan itu setiap hari,” katanya selepas meninjau Tapak Penugasan Ops Sikap ke-24 di Jalan Sungai Buloh–Kuala Selangor, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Md Rashid dan Ketua Trafik Pasukan, Datuk Abd Aziz Yusof.

Khalid turut kesal dengan sikap segelintir pengguna jalan raya yang bukan hanya memandu, malah memberhentikan kenderaan sesuka hati di lorong kecemasan sehingga boleh membahayakan pengguna lain, terutama penunggang dan pembonceng motosikal.
“Inilah antara sikap yang menyumbangkan kepada peningkatan perangkaan kemalangan dan jumlah kematian. Jangan pentingkan diri sendiri, jangan berhenti di lorong kecemasan kalau tiada sebab. Di sepanjang lebuh raya, ada banyak kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) tempat tidak membahayakan pengguna lain.

“Saya dimaklumkan ada kes membabitkan kereta yang berhenti di lorong kecemasan dilanggar motosikal atau lori. Ini yang mahu kita elakkan, malah saya sudah mengarahkan pegawai dan anggota trafik bertugas untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja berhenti di situ,” katanya.

Sementara itu, 23 lagi kematian dicatatkan pada hari keenam Ops Sikap Ke-24 kelmarin, sekali gus menjadikan keseluruhannya 117 kematian dicatatkan sehingga kini.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 20 kemalangan maut di seluruh negara kelmarin, dengan 11 daripadanya berlaku di Jalan Persekutuan, diikuti Jalan Negeri (tujuh), lebuh raya (tiga) dan masing-masing satu kes di Jalan Bandaran serta lain-lain laluan. Angka kematian tertinggi dicatat penunggang dan pembonceng motosikal (18), diikuti lima pemandu dan penumpang kereta.. bharian

No comments:

Post a Comment