Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Kambing nyaris dicuri



BALING - Seorang penduduk Kampung Kubang Panjang, Mariam Abdul Rahim hampir kerugian kira-kira RM1,000 apabila kambingnya nyaris dicuri selepas waktu berbuka puasa kira-kira jam 8 malam.

Mariam berkata, ketika kejadian dia berada di dapur dan pintu dapur rumahnya itu terbuka.

“Semasa saya membasuh pinggan, saya ternampak kelibat seseorang di kandang kambing yang hanya beberapa meter dengan rumah saya.

“Semakin lama, saya lihat kelibat lelaki itu semakin mencurigakan. Lelaki berkenaan seolah-olah mengepung kambing yang ketika itu berada di luar kandang. Saya menjerit ke arah lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, menyedari tindakannya diperhatikan, lelaki itu masuk ke dalam kereta jenis Proton Saga yang berada di hadapan rumah Mariam.

“Saya ingatkan, kereta itu milik jiran-jiran, saya tidak sangka yang kereta itu adalah milik pencuri itu.

“Dalam kereta itu, ada seorang pemandu. Selepas pencuri masuk ke dalam kereta, pemandu berkenaan terus memecut keretanya,” katanya.

Menurutnya, dia amat terkejut, kerana pencuri berkenaan begitu berani kerana meletakkan kenderaan mereka di hadapan rumahnya.

“Mungkin pencuri itu merasakan saya sekeluarga sedang berbuka puasa

“Tahun ini saja, enam lembu saya saya hilang. Itu baru saya, belum lagi jiran-jiran. Pencuri di sini memang berani. Kadang-kadang, kita tidak sedar bahawa mereka itu adalah pencuri.

“Gaya mereka seperti orang biasa, kalau kita tidak kenal mereka. Mungkin kita ingat mereka adalah pemilik kepada haiwan ternakan yang dicuri,” katanya.

Mariam berkata, perkara ini perlu dipandang serius pihak berwajib untuk mengelakkan perkara sama berulang di kampung ini.

“Sekiranya pencuri ini masih bebas, maknanya haiwan ternakan di kampung ini berada dalam keadaan yang tidak selamat.

“Namun begitu, perkara yang paling saya risau adalah sekiranya pencuri ini berubah angin mencuri di dalam rumah pula. Ini, pastinya akan membahayakan seisi keluarga. Saya juga ingin berpesan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati untuk mengelak sebarang masalah tidak dingini,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment