Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Kakak terima panggilan Nabilah

MELAKA 5 Ogos - Selepas menyepi hampir dua minggu, atlet pelapis penembak wanita kebangsaan, Nabilah Ashazra Azlan yang didakwa dilarikan lelaki beristeri dua akhirnya menghubungi kakaknya, Quraishah kira-kira pukul 8 malam tadi.
Bapanya, Azlan Maidin, 53, berkata, Nabilah, 20, menghubungi anak keduanya yang bekerja di Balai Polis Sungai Merah, Sibu, Sarawak dan memaklumkan dia akan pulang ke rumah tetapi memerlukan masa.
"Anehnya kata anak saya (Quraishah), Nabilah tidak menggunakan telefon bimbitnya sebaliknya menggunakan telefon awam.
"Nadanya ketika bercakap seperti ketakutan. Nabilah ada memberitahu kakaknya bahawa dia masih berada di Kota Bharu, Kelantan," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Peringgit di sini, hari ini.
Rabu lalu, Azlan mendakwa anak keempatnya yang berpotensi untuk menyumbang emas dalam acara air pistol di Sukan SEA Palembang, November ini dilarikan seorang lelaki yang mempunyai dua isteri dikenali sebagai Mohd. Sophee Yaakob, 44.
Menurutnya, dia melahirkan rasa lega apabila mendapat tahu Nabilah masih hidup dan selamat apabila dia menghubungi kakaknya malam tadi.
Katanya, hanya Quraishah menjadi penghubung untuk mengetahui keadaan anak keempatnya kerana Nabilah tidak langsung menghubungi abang-abang atau adik-adiknya yang lain.
"Daripada apa yang diceritakan oleh Quraishah, saya percaya Nabilah ingin pulang ke rumah dan kembali semula menjalani latihan di Sekolah Bukit Jalil (SBJ) tetapi Mohd. Sophee menghalangnya," katanya.
Sehubungan itu, Azlan sekali lagi meminta Mohd. Sophee membawa Nabilah pulang ke Melaka bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul.
"Saya dapat terima Mohd. Sophee dengan baik jika sahih dari hukum syarak mereka sah sebagai suami isteri tetapi pulanglah dulu ke Melaka," katanya.
Azlan melahirkan rasa risau mengenai masa depan sukan menembak yang diceburi oleh Nabilah memandangkan dia antara atlet pelapis yang berpotensi menyumbang kilauan emas di Sukan SEA Palembang, Indonesia, November ini.
Ujarnya, peluang anak keempatnya belum tertutup untuk beraksi ke Sukan SEA walaupun sejak 25 Julai lalu dia tidak menyertai sesi latihan skuad menembak di Majlis Sukan Negara (MSN).utusan

No comments:

Post a Comment