Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Jual mercun, bunga api jurutera perunding ditahan



KANGAR - Hasil aduan orang ramai, polis Perlis berjaya menahan seorang jurutera perunding kerana memiliki dan menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api di rumahnya, di Taman Kemajuan Kangar di sini, kira-kira jam 5.15 petang kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Zull Aznan Haron berkata, dengan penahanan suspek berusia 52 tahun itu, pihaknya berjaya merampas sejumlah 31 jenis mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Menurutnya, suspek yang begitu kreatif telah menjadikan bahagian dapur rumahnya sebagai bilik pameran mercun manakala sebuah bilik di bahagian atas rumah dua tingkat miliknya dijadikan sebagai stor simpanan mercun.

“Kita membuat serbuan selepas mendapat aduan dari penduduk yang sering melihat kanak-kanak bermain mercun dan bunga api. Malah, mereka mengesyaki kegiatan itu selepas mendapati kanak-kanak mudah mendapatkan bahan itu.

“Pembeli terutama kanak-kanak hanya datang ke rumah suspek dan melihat jenis mercun dan bunga api yang disimpan di dalam balang pelbagai bentuk. Malah, bahagian dapur rumahnya itu dilihat seolah-olah kedai runcit.

“Kita percaya, jurutera perunding ini sudah memulakan kegiatan menjual bahan larangan yang dibawa masuk dari negara jiran ini sejak awal Ramadan lalu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Zull berkeata, pihaknya menahan jurutera itu atas kesalahan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dikenakan penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali, sekiranya didapati bersalah.

Beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan menjual mercun dan bermain bunga api di kawasan perumahan mereka sila hubungi polis untuk tindakan lanjut.
SH

No comments:

Post a Comment