Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Gara-gara kejar untung RM5, syarikat feri rugi RM1,800



KEUNTUNGAN RM5 bagi setiap caj barangan dalam kargo yang dikenakan oleh syarikat Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. kepada pelanggannya tidak berbaloi apabila syarikat berkenaan terpaksa membayar ganti rugi RM1,800 gara-gara kecuaian menjaga barangan yang diamanahkan.
Syarikat berkenaan yang menjalankan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi diarah membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 14 hari setelah seorang pengusaha butik, Zuhana Md. Amin, 39, kehilangan barang yang dikirim dari Perlis ke Langkawi melalui perkhidmatan feri syarikat tersebut.
Ganti rugi tersebut dipersetujui oleh kedua-dua pihak setelah Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abd. Razak mengarahkan kedua-dua pihak berbincang mengenai jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada Zuhana.
Sebelum itu, Zuhana menuntut agar syarikat berkenaan membayar kos kehilangan semua barangan yang dikirimkan berjumlah RM3,015 meliputi 18 pasang baju, sebuah periuk nasi, barangan kosmetik dan salinan cukai jalan untuk motosikalnya.
Menurut Zuhana, pada 17 Julai lalu, dia telah mengirimkan barangan berkenaan menggunakan perkhidmatan feri tersebut dengan membayar caj kargo RM5 bagaimanapun barangan yang dikirimkan itu tidak sampai kepada kakaknya di Langkawi.
''Saya menghantar barang tersebut pada pukul 2.50 petang namun sehingga feri terakhir, kakak saya memaklumkan masih belum menerima barangan tersebut,'' katanya.
Ujarnya, pada keesokan pagi, dia menelefon syarikat tersebut namun masih tidak dapat mengesan kedudukan barangan yang dikirim.
Berikutan tidak puas hati dengan maklum balas yang diterima daripada syarikat berkenaan, dia memfailkan tuntutan ganti rugi di TTPM pada 20 Julai lalu.
Dalam pada itu, wakil syarikat tersebut Nurul Fakri Ahmad berkata, syarikatnya enggan membayar tuntutan ganti rugi itu kerana telah terdapat terma-terma di belakang tiket caj kargo bahawa pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap kehilangan barangan para pelanggan.
Namun Reihana menegaskan, terma-terma tersebut tidak boleh diterima kerana ia menetapkan bahawa pemilik barang perlu ada bersama-sama sebagai penumpang semasa menggunakan perkhidmatan itu sedangkan Zuhana hanya mengirimkan barang.
''Apabila pelanggan membayar caj tersebut dan dipersetujui oleh syarikat maka syarikat perlu bertanggungjawab untuk memastikan barangan itu selamat sampai kepada penerimanya namun dalam hal ini syarikat cuai untuk melaksanakan amanah tersebut,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, tribunal memutuskan agar hanya separuh daripada nilai tuntutan dibayar kerana tidak mempunyai bukti kukuh mengenai jumlah barangan yang dikirimkan walaupun pihak penuntut telah menyertakan resit-resit pembelian.
''Tribunal tidak tahu sama ada benar atau tidak jumlah barangan tersebut kerana wakil syarikat tidak melihat sendiri jumlah barangan dalam bungkusan itu dan kita hanya mendengar nilainya daripada pihak penuntut,'' katanya.
Reihana berkata, tribunal menetapkan syarikat tersebut membayar sejumlah RM1,325 namun menerima pakai keputusan kesepakatan yang telah dibuat antara kedua-dua pihak sebelum tribunal membuat keputusan.
Sehubungan itu beliau menasihatkan syarikat berkenaan melaksanakan perkhidmatan kiriman barang yang lebih sistematik seperti syarikat kurier agar dapat mengelak menanggung kos kerugian yang tinggi akibat kehilangan barang pelanggan.-utusan

No comments:

Post a Comment