Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Dua sakit, bicara dalam perbicaraan ditangguh



Thilaiyangan (kiri) dan Matan (dua kiri) diiringi polis sewaktu hadir di perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Mahkamah Shah Alam, semalam. - utusan/Mohd Shaharani Saibi


SHAH ALAM 9 Ogos - Prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini bagi mengetahui keadaan minda serta kemungkinan berlaku tekanan terhadap dua tertuduh, T. Thilaiyalagan dan R. Kathavarayan semasa disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan barang-barang kes, ditangguhkan sehingga Khamis ini.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan penangguhan selepas peguam Manjeet Singh Dhillon memaklumkan anak guamnya yang juga tertuduh pertama, N. Pathmanabhan dan Kathavarayan selaku tertuduh keempat tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan dibawa ke hospital pagi ini.
Peguam Gurbachan Singh yang mewakili Thilaiyalagan juga memohon perkara yang sama kerana pihaknya perlu menyerahkan sepina kepada beberapa orang saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding TWT itu.
Hakim Akhtar turut memaklumkan mahkamah akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi berkaitan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi di sekitar Banting dan Subang Jaya esok.
Selain beliau dan pegawai mahkamah serta barisan pendakwaan dan juga pembelaan, lawatan kali kedua ini akan disertai oleh kesemua tertuduh.
Dalam kes ini, bekas peguam, Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-36, Sarjan Mohamed Dahlan Rasee dari Cawangan Siasatan Tempat Kejadian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberitahu, dia diarah melakar rajah kasar di sebuah sungai di Jalan Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang, Banting pada 14 September tahun lalu.
Menurutnya, kerja tersebut dilakukan sebaik sahaja sampai di lokasi dan sebelum bahan bukti iaitu enam keping zink ditemui di dalam sungai itu oleh tiga anggota penyelam.
''Saya nampak tiga anggota penyelam berada di dalam parit sedang mencari bahan-bahan bukti. Tidak lama kemudian saya nampak mereka mengeluarkan sekeping demi sekeping zink dari dalam air.
''Zink-zink itu diletakkan di atas tebing rumput dan dibalut dengan kertas minyak berwarna putih oleh anggota siasatan tempat kejadian jenayah,'' jelasnya semasa memberi keterangan dalam kes bunuh tersebut.
Semasa disoal oleh Manjeet, Mohamed mengaku dia melukis rajah kasar tempat itu sebelum zink ditemui dan meletakkannya dalam lakaran itu apabila ia ditemui 10 minit kemudian.
Saksi turut mengakui tiga anggota penyelam itu mula membuat pencarian di dalam sungai tersebut sebelum pasukan siasatan tempat kejadian jenayah tiba.
Saksi pendakwaan ke-35, Lans Koperal Salmi Putit pula mengesahkan dia membuat rajah kasar di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya iaitu lokasi kereta BMW milik Ahmad Kamil ditemui.
Katanya, lakaran itu dibuat apabila sampai di pejabat selepas menjalankan siasatan di tempat itu pada pukul 10 malam, 6 September 2010.
Ditanya sama ada ia adalah kawasan lot tempat letak kereta berbayar dan ia bersambung dengan bahagian di hadapan deretan rumah kedai, saksi mengesahkan perkara itu.
Dia bagaimanapun memaklumkan tidak nampak meter untuk pembayaran tempat letak kereta berhampiran dan diberitahu oleh seorang penduduk yang tinggal berdekatan bahawa kawasan itu tidak berbayar.
Perbicaraan yang masuk hari ke-20 bersambung esok.

No comments:

Post a Comment