Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Dua ditahan bantu siasatan kes bunuh




Mayat Zainab Che Kob ditemui dalam longkang di Kilometer 6, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, kelmarin selepas dipercayai dibunuh.


KOTA BHARU 14 Ogos - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang suri rumah berusia 41 tahun dengan kesan kecederaan di kepala dalam longkang tepi jalan di Kilometer 6, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, semalam.
Mangsa, Zainab Che Kob ditemui oleh orang ramai dalam keadaan lengkap berpakaian pukul 11.20 pagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua lelaki itu berusia 30 dan 31 tahun serta ada pertalian keluarga dengan mangsa, ditahan kira-kira pukul 9 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Jalaluddin berkata, sepasukan polis telah bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima maklumat orang awam berhubung penemuan mayat tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka sepanjang sembilan sentimeter pada bahagian kiri kepala mangsa.
Katanya, polis turut menemui sehelai seluar dalam dipercayai milik mangsa kira-kira dua meter daripada mayatnya ditemui.
"Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan turut dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment