Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Dua beradik nyaris rentung

IPOH – Jeritan dari luar rumah menyelamatkan dua adik-beradik yang nyaris rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah lot di Jalan Madrasah, Rapat Setia di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Nurasyikin Ishak, 21, dan kakaknya, Zarifah Nadia, 23, sedang tidur di bilik tidur berasingan di bahagian hadapan dan belakang rumah berkenaan.

“Saya terdengar jeritan orang dari luar rumah yang melihat asap dan api mula marak dari bilik di bahagian belakang.

“Selepas menyedari api mula marak dan asap semakin menebal, saya segera berlari ke bilik belakang untuk menyelamatkan kakak yang kurang sihat kerana mengalami demam panas.

“Nasib menyebelahi kami berdua apabila berjaya keluar dari rumah dan jiran berhampiran turut datang menghulurkan bantuan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkata, kakaknya pengsan dan sudah di bawa ke Hospital Pantai untuk mendapatkan rawatan.

Nurasyikin berkata, ibu serta bapa mereka, Norshimah Abdul Rahman, 51, dan Ishak Abdul Rahman, 51, sedang bekerja sewaktu kejadian berlaku dan pulang ke rumah untuk melihat keadaan rumah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami berdua selamat. Mungkin kejadian ini adalah ujian daripada Tuhan sempena bulan Ramadan,” katanya yang sudah tinggal di rumah itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Penguatkuasa Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.27 pagi.

Tiga jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk 24 anggota bergegas ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.

“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi dan api dapat dikawal 20 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, semalam.

Menurutnya, hampir 80 peratus daripada rumah berkenaan musnah dalam kebakaran itu namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Samasuvam berkata, setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada bilik di bahagian belakang rumah.SH

1 comment: