Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Disyaki perbuatan khianat



KOTA BHARU- Hanya dalam sekelip mata, enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran yang melibatkan sebuah rumah sewa di Kampung Lundang, di sini, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan keluarga terbabit tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah berkenaan akibat api yang begitu cepat merebak.

Mangsa, Nurlia Mohd Zin, 43, berkata ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar berniaga biskut dan kek sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu.

“Ibu saya, Kalsom Daud, 80 bersama anak ketiga, Wan Nor Kasidah Wan Khairul, 17, serta anak bongsu, Wan Khairul Ridhuan Al Hakim Fikri, 14, berada dalam rumah.

“Anak saya Wan Nor Kasidah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada saya sebelum kebakaran berlaku mengatakan ada terdengar seperti kehadiran orang di hadapan rumah saya, akibat takut dia tidak keluar dari bilik dan terus mendiamkan diri sehinggalah menyedari bahagian dapur terbakar,” katanya.

Katanya, dia mengesyaki kejadian itu mungkin perbuatan khianat, namun tidak tahu puncanya kerana menurutnya dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa sepanjang dia tinggal di kawasan itu.

“Selepas berbalas SMS kira-kira tiga jam sebelum itu, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari anak saya (Kasidah) mengatakan rumah yang menjadi tempat berteduh kami sekeluarga sejak tujuh tahun lalu terbakar.

“Saya hanya sampai ke rumah kira-kira jam 7 pagi dan melihat rumah hangus dan hanya tinggal sisa-sisa kebakaran sahaja.

“Sedih dan terkejut apabila menerima berita ini namun saya pasrah dan mengharapkan agar kehidupan kami selepas ini lebih baik,” katanya.

Nurlia berkata, kebakaran terbabit menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM150,000 merangkumi kerugian barangan jualan termasuk, pinggan mangkuk, beg kulit, kain tudung dan beberapa barangan berharga.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Wan Hassan Wan Idris berkata, pihaknya menghantar empat jentera termasuk sebuah dari balai bomba Kota Darulnaim bersama 19 anggota ke tempat kejadian.

”Sebaik tiba di tempat kejadian, rumah kayu terbabit telah 100 peratus musnah dan pihak kami mengambil masa15 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya.

Wan Hassan menasihatkan orang ramai terutama suri rumah supaya lebih berhati-hati dengan aktiviti memasak sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini bagi mengelak musibah.-SH

No comments:

Post a Comment