Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Disamun tidur dalam kereta

GOMBAK: Tindakan seorang lelaki tidur sebentar di dalam kereta sementara menunggu rakannya menerima rawatan di Hospital Selayang (HS) di sini, berakhir dengan nasib malang apabila disamun empat lelaki membabitkan kerugian hampir RM10,000, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun menghantar rakannya ke hospital itu untuk menerima rawatan selepas mengadu sakit perut.

Menurut sumber, sebaik menghantar rakannya, mangsa yang mengantuk pergi semula ke kereta Iswara Aeroback yang diletak di luar hospital kerana ingin tidur sementara menunggu rakannya selesai dirawat.

“Bagaimanapun selepas 15 minit terlelap, tiba-tiba empat lelaki tidak dikenali membuka pintu keretanya yang tidak berkunci menyebabkan dia terkejut.

“Walaupun terjaga, mangsa tidak sempat berbuat apa-apa apabila suspek terus memukulnya beberapa kali sebelum meminta dia menyerahkan barangan berharga,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan beg duit dan telefon bimbit kepada suspek. “Salah seorang suspek mengarahkan mangsa keluar dari kereta jika tidak mahu dipukul menyebabkan dia yang bimbang dengan keselamatan diri menuruti arahan itu.

“Sebaik mangsa keluar, suspek menolak mangsa dan terus masuk ke dalam kereta itu sebelum melarikan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment