Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Deposit haram: Ahli perniagaan tukar akuan

ALOR SETAR 2 Ogos - Seorang ahli perniagaan hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima deposit haram berjumlah kira-kira RM500,000 daripada orang ramai, hampir 13 tahun lalu.
Abdul Halim Che Ismail, 36, yang sepatutnya dijatuh hukum hari ini selepas mengaku bersalah pada prosiding lalu, mengubah pengakuannya selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 29 Julai tahun lalu, dia mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuan kepada bersalah pada 11 Julai lalu.
Berikutan perkembangan hari ini, Mohd. Rosli menetapkan 19 September ini untuk perbicaraan kes tersebut.
Beliau bagaimanapun menasihatkan tertuduh agar memikirkan secara berhati-hati keputusannya memandangkan kes tersebut sudah lama tertangguh.
Mengikut pertuduhan, Abdul Halim didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah antara Disember 1998 dan Julai 2001 di Silvercoin Enterprise, di No. 15, Taman Enggang Alor Malai Jalan Langgar di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa dari Bank Negara, Anthony Kularaj Kulasingam dan Mohd. Syahkirin Mahpot manakala tertuduh diwakili peguam, Azman Aziz.

No comments:

Post a Comment