Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Dapur musnah dihempap tiga batang pokok



ALOR SETAR 14 Ogos - Seorang ibu tidak sempat memasak kuih sagu sebagai hidangan berbuka puasa apabila bahagian dapur serta bilik air rumah mereka di Kampung Alor Gunung di sini, dihempap tiga batang pokok dalam kejadian ribut, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Suhaila Ishak, 36, yang berada di dapur ketika kejadian sempat melarikan diri ke bahagian ruang tamu rumah bersama tiga anak serta suaminya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Suhaila berkata, ketika hujan lebat beserta angin kencang melanda, dia sedang sibuk memasak kuih sagu di dapur untuk hidangan berbuka puasa mereka sekeluarga.
"Kuih ini anak sulung saya minta buat kerana dia hendak pulang ke asrama petang ini dan memang kuih ini jadi kegemaran kami sekeluarga.
"Ketika saya memasak di dapur terdengar bunyi seperti dahan pokok patah dan bila saya tinjau di luar dapur saya nampak pokok mempelam, pokok pinang dan pokok keriang condong ke arah dapur rumah saya," katanya ketika ditemui di Kampung Alor Gunung di sini, semalam.
Menurutnya, selepas menyedari keadaan itu dia terus melarikan diri ke ruang tamu rumahnya.
"Sebaik sahaja sampai di ruang tamu rumah, ketiga-tiga batang pokok itu tumbang menghempap dapur dan bilik air. Saya sedih kerana tidak sempat memasak hidangan berbuka puasa untuk kami sekeluarga dan terpaksa menumpang di rumah ibu buat sementara waktu," ujarnya.
Jelasnya, dia dan suami hanya bekerja kontrak sebagai pembantu kantin sekolah serta pendapatan mereka hanya cukup untuk belanja harian.
"Kami risau bagaimana hendak mendapatkan wang untuk membaiki bahagian dapur tambahan pula Hari Raya Aidilfitri semakin hampir. Kami harap ada pihak yang sudi membantu untuk membaiki bahagian dapur dan bilik air rumah kami," tambahnya.-utusan

No comments:

Post a Comment