Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Dapur dihempap tiga pokok



PANTAI JOHOR - Seorang ibu hampir dihempap pokok ketika sedang menyiapkan kuih sagu sebagai juadah berbuka puasa untuk keluarganya, kelmarin.

Pembantu kantin sekolah, Suhaila Ishak, 36, berkata, kuih sagu yang dimasak itu adalah permintaan anak sulung, Muhammad Saiful Izwan Ahmad Jamil, 13, yang akan pulang ke asrama.

Dia berkata, tiga pokok iaitu pokok mangga, keriang dan pinang telah menghempap hampir keseluruhan bahagian dapur dan tandas rumahnya.

Menurutnya, pada awalnya dia menyedari kejadian itu berlaku setelah melihat pokok buluh di luar rumahnya bergoyang.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat pokok buluh itu seolah-olah berpusing dan saya kemudiannya segera pergi ke bahagian ruang tamu kerana berasa bimbang dengan cuaca waktu itu.

“Beberapa minit selepas itu, saya terdengar seolah-olah ada sesuatu yang menghempap di bahagian dapur dan segera pergi ke dapur melihat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Gunung.

Suhaila berkata, sebelum ini belum pernah kejadian seperti itu berlaku sejak 13 tahun mereka tinggal di kawasan berkenaan.

Dia berkata, dia bersyukur kerana sewaktu kejadian tiga anaknya dan suami Ahmad Jamil Abdul Halim, 36, berada di bahagian ruang tamu dan tidak berlakunya sebarang kemalangan.

Sementara itu, Ahmad Jamil berkata, dia juga terkejut dengan kejadian yang berlaku dan tidak menyangka pokok itu akan tumbang lalu menghempap rumahnya.

Menurutnya, dia sekeluarga kini terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak bersebelahan dengan rumah mereka.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu kami sekeluarga untuk membaiki bahagian dapur yang rosak itu bagi membolehkan ia digunakan semula.

“Pekerjaan saya dan isteri sebagai pembantu kantin sekolah bukanlah lumayan dan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan baiki rumah, tambahan pula terpaksa menyiapkan persiapan raya,” katanya.

Ahmad Jamil berkata, sekiranya ada pihak yang ingin membantu dia berasa amat bersyukur kerana boleh meringankan beban yang ditanggung.-SH

No comments:

Post a Comment