Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Dakwa kena tipu isteri bekas VIP



BANDAR DARULAMAN - Pelbagai alasan diberikan kepada pemilik rumah oleh seorang penyewa di sini bagi mengelak untuk membayar tunggakan sewa termasuk bil elektrik, bil air dan kerosakan dalam rumah berkenaan.

Begitulah situasi yang terpaksa ditanggung oleh pemilik rumah yang menyewakan rumahnya di Taman Melur Kristal, Jalan Wang Tepus di sini kepada seorang wanita sudah berkeluarga pada Jun 2009.

Pemilik rumah, Nor Aida Md Hashim, 42, mendakwa, wanita yang dipercayai isteri kepada bekas VIP itu masih mempunyai tunggakan sewa termasuk tunggakan bil elektrik, air dan lain-lain mencecah RM5,000.

Menurutnya, wanita itu mula menyewa rumahnya sejak Jun 2009 dan kemudiannya keluar pada 31 Disember 2010 selepas bekalan air dan elektrik dipotong disebabkan gagal menjelaskan tunggakan yang mencecah ribuan ringgit.

“Pada tahun pertama, dia membayar sewa dengan teratur, namun sejak pertengahan tahun lalu dia mula membuat ‘perangai’ dengan membayar sewa rumah sebanyak RM450 secara ansuran mengikut kemampuan.

“Disebabkan kasihankan dia dan anak-anak, kami masih bertoleransi dengannya dan menerima bayaran sewa yang dibuat tanpa merungut, namun sejak meninggalkan rumah itu pada April lalu, panggilan saya langsung tidak berjawab untuk menjelaskan hutang.

“Akibatnya saya dan suami terpaksa menanggung risiko menjelaskan tunggakan bil air dan elektrik disebabkan mahu memberi peluang kepada penyewa lain tinggal di situ,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Aida berkata, wanita berusia 50-an itu pernah juga beberapa kali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berjanji akan membayar hutang sewa yang tertunggak itu selepas pulang dari Sarawak selepas mendakwa menjadi calon dalam pilihan raya di negeri itu tempoh hari.

Menurutnya, sejak memberi sewa kepada wanita terbabit, dia banyak bertolak ansur dan tidak mahu mengeruhkan keadaan malah memberi potongan harga kepada penyewa itu supaya dapat menjelaskan hutang, namun masih gagal.

“Kalau diikutkan bil api yang tertunggak ialah RM2,125.65, bil air RM891.75, tunggakan sewa tiga bulan RM1,350 termasuk kerosakan peralatan dalam rumah seperti televisyen, dapur dan lain-lain mencecah RM5,000, namun saya kurangkan kepada RM4,000 sahaja dengan harapan dia mampu membayarnya.

“Tetapi dari hari ke hari wanita terbabit gagal dihubungi malah menggunakan bapanya yang berada di Sarawak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah itu namun masih tidak berkesudahan,” katanya.

Nor Aida berkata, dia masih bertolak ansur dan tidak bercadang untuk membuat laporan polis berkaitan hal itu, namun apa yang diharapkan penyewa terbabit datang menjelaskan hutang berkenaan dengan segera.
SH

No comments:

Post a Comment