Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

Dadah dalam tong sampah

KUALA LUMPUR : Seorang pekerja kafe siber yang bergiat aktif mengedar dadah jenis ketamin dan pil Eramin 5 di pusat Internet dan pusat hiburan di Cheras dan kawasan sekitarnya dicekup Jumaat lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 35 tahun ini bukan sahaja menjadikan kafe siber tempat kerjanya sebagai lokasi mengedar dadah berkenaan, malah dipercayai turut mengedarnya ke pusat hiburan berhampiran.

Bagaimanapun, hasil intipan dan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan lelaki berkenaan selepas menyerbu kafe siber itu yang terletak di Pusat Perniagaan Cheras, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan dilakukan anggotanya kira-kira jam 5 petang dan menemui 10 peket kecil berisi ketamin seberat 16 gram yang disimpan di dalam kotak rokok milik suspek.

“Selepas disoal siasat, suspek membawa sepasukan polis ke sebuah tong sampah yang terletak di luar premis berkenaan yang membawa kepada penemuan sebuah sampul surat, dua plastik besar dan lima peket kecil yang mengandungi 369 gram dadah jenis ketamin. “Turut ditemui, sebuah beg kertas yang mengandungi empat ikatan gelang yang setiap daripadanya mengandungi 10 foil pil Eramin 5 berjumlah 400 biji,” katanyai, semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas lelaki itu mendapati dia adalah pengedar pil Eramin 5 dan dadah jenis ketamin di pusat hiburan dan kafe siber di sekitar Cheras sejak Mei lalu.


Katanya, lelaki berkenaan juga didapati positif ketamin dan ditahan reman hingga 4 Ogos depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohan berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada lelaki berkenaan bergerak secara sendirian atau bersindiket.

No comments:

Post a Comment