Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Cubaan seludup petrol gagal



KANGAR - Seorang lelaki warga tempatan ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Perlis selepas cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran, pada jam 10.30 pagi, semalam.

Suspek ditahan ketika cuba menyeludup :kira-kira 600 liter minyak petrol yang disimpan dalam kereta Proton Iswara warna putih yang dipasang dua tangki tambahan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Wang Kelian di sini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perlis, Razali Lebai Salleh berkata, lelaki berusia lingkungan 20 an itu ditahan empat anggota KPDNKK Perlis ketika cuba melepasi pintu sempadan dipercayai dalam perjalanan menghantar minyak ke Thailand untuk dijual.

Menurutnya, beliau percaya perbuatan itu didalangi sebuah sindiket warga tempatan yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan memandangkan harga minyak di negara jiran lebih mahal berbanding negara ini.

“Kita percaya kegiatan ini didalangi sindiket yang terdiri daripada orang tempatan yang membeli minyak di stesen dalam kuantiti yang banyak sebelum di seludup negara jiran melalui pintu masuk negara terutamanya di melalui pintu masuk di Wang Kelian.

“Kes disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita di Stor kereta KPDNKK di Behor Pulai, semalam.

Razali berkata, sejak Januari sehingga minggu pertama Ogos, sebanyak 143 kes penyeludupan termasuk penyeludupan petrol, diesel, minyak masak dan tepung dengan nilai rampasan berjumlah RM 605, 846.90 berjaya dipatahkan KPDNKK.

“Kita menjalankan pemantauan dan operasi setiap masa terutama di pintu sempadan negara di Wang Kelian bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang dilihat semakin menjadi-jadi menjelang musim perayaan .

“Sehingga kini, sebanyak 80 kenderaan dengan nombor pendaftaran tempatan dan 40 kenderaan menggunakan nombor pendaftaran Thailand dikenal pasti memasang tangki tambahan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan memberi kerjasama melaporkan kepada pihak penguat kuasa sekiranya melihat aktiviti mencurigakan.-SH

No comments:

Post a Comment