Search This Blog

Saturday, August 6, 2011

Cikgu ketuk


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun di sebuah sekolah rendah di sini mendakwa kepalanya sering diketuk manakala badannya ditumbuk seorang guru lelaki di sekolahnya.
Difahamkan, kejadian itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya mangsa mendakwa sering dipukul guru berusia lingkungan 30-an itu sejak empat bulan lalu.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi kelmarin, pelajar itu sekali lagi ditumbuk di badan selain kepalanya diketuk guru terbabit hanya kerana dia tidak menjawab soalan yang diberikan dengan betul.

Selepas pulang ke rumahnya di Jalan Klang Lama di sini dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya, mangsa dibawa ke Balai Polis Petaling untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa memberitahu, dia sering dipukul tanpa sebab manakala dalam kejadian terbaru, mangsa mendakwa dipukul guru terbabit menggunakan tangan hanya kerana salah menjawab satu soalan diberikan,” kata sumber.

Menurutnya, bapa mangsa yang terkejut dengan aduan anaknya itu cuba menenangkan mangsa kerana mendakwa takut untuk pergi ke sekolah.



Difahamkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan sebaliknya kini trauma dan takut untuk meneruskan sesi persekolahan.

Sehubungan itu, bapa mangsa membawa anaknya itu membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan selain bimbang sekiranya perkara buruk terjadi kepada anaknya pada masa depan.
hmetro

No comments:

Post a Comment