Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

Cemburu jadi motif bunuh

AMPANG: Motif cemburu dikenal pasti menyebabkan seorang wanita warga Indonesia dan anaknya yang berusia enam tahun dibunuh kejam sebelum mayat mereka dikerat lebih 15 bahagian.
Mayat dua beranak itu dibungkus dalam tiga plastik sebelum dibuang di sebuah pangsapuri terbiar di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, di sini, pada 3 Ogos lalu.

Polis mengesahkan wanita berkenaan juga mengandung berdasarkan bedah siasat dijalankan.

Setakat ini, polis menahan sembilan lelaki termasuk suami mangsa yang berusia 29 tahun bagi membantu siasatan di Bandar Baru Ampang, di sini, dua hari lalu.

Lapan lagi lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci adalah warga Bangladesh. Seorang daripada lelaki dipercayai kekasih ‘gelap’ wanita berkenaan.

Siasatan awal, suami mangsa yang berasal dari Sabah tidak pernah membuat laporan polis berhubung kehilangan isteri dan anaknya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan motif cemburu menjadi punca pembunuhan kejam itu.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah pangsapuri terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas di tingkat lima bangunan itu. Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik di atas siling tandas dan beberapa tempat dalam rumah berkenaan.

Dipercayai mangsa dibunuh tidak lebih dari seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat melebihi 15 bahagian.

No comments:

Post a Comment