Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Bunyi telefon jadi penyelamat



KOTA TINGGI – Seorang pemuda yang sedang nyenyak tidur di tingkat atas rumah teres dua tingkat di sini terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran apabila dikejutkan bunyi deringan telefon bimbitnya dalam kejadian yang berlaku di bahagian bawah rumah keluarga angkatnya di Taman Aman, di sini, semalam.

Mahyudin Parman, 28, yang ketika itu tinggal berseorangan di rumah, terpaksa memecahkan tingkap biliknya sebelum terjun dari tingkat dua bilik itu untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran tersebut.

“Ketika kejadian saya sedang tidur di bilik atas dan tiba-tiba terasa sesak nafas sebelum terjaga kerana terdengar bunyi jam yang dikunci di telefon bimbit.

“Saya begitu terkejut apabila melihat asap tebal dan api di ruang bawah rumah.

“Tanpa berfikir panjang saya terus memecahkan tingkap di bilik sebelum terjun untuk menyelamatkan diri. Mujurlah tingkap di bilik saya tidak dipasang besi penghadang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Menurutnya, dengan bantuan salah seorang jiran, pihak Bomba dan Penyelamat berjaya dihubungi dan api kebakaran rumah tersebut berjaya dikawal.

Sementara itu, pemilik rumah tersebut, Irwan Sulaiman, 37, redha dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana adik angkatnya itu terselamat daripada tragedi berkenaan.

“Ketika kejadian, saya bersama anak dan isteri pulang ke kampung di Felda Air Tawar 5. Kami yang menerima panggilan telefon daripada adik terus bergegas pulang ke rumah.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Apa yang penting adalah keselamatan adik yang tinggal di rumah. Walaupun kebakaran tersebut telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM7,000, saya terima dengan redha ujian Allah di bulan Ramadan ini,” kata ayah kepada tiga orang anak itu.

Menurutnya, hanya beberapa helai pakaian sahaja yang berjaya diselamatkan manakala barang-barang persiapan untuk menyambut Syawal seperti langsir, baju raya serta beberapa dokumen yang terletak di tingkat bawah habis dijilat api.

Irwan yang turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama, Asiah Md Ariff, mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat tersebut serta pelbagai pihak lain yang begitu prihatin memberikan sumbangan kepada keluarganya.

“Dengan sumbangan yang diterima dapatlah saya membelikan pakaian baru untuk anak-anak nanti,” katanya yang akan menetap sementara di rumah ibunya.

Pegawai Bomba Kanan 2 Daerah Kota Tinggi, Ahmad Amat pula ketika ditemui di kediaman keluarga itu berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai akibat masalah pendawaian elektrik yang berlaku di bahagian ruang tamu rumah tersebut.

“Kami menerima panggilan daripada orang awam jam 11.24 pagi dan pihak bomba telah sampai empat minit kemudian sebelum berjaya memadamkan api jam pada 12.02 tengah hari.

“Dipercayai juga kebakaran tersebut berlaku akibat litar pintas. Kita juga menganggarkan jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung adalah sebanyak RM15,000,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment