Search This Blog

Monday, August 29, 2011

Asap daging hangit

SEREMBAN: “Sejurus melihat asap dari pakaiannya diselangi bau hangit daging, saya segera mengoyakkannya sebelum tersentak apabila melihat kedua-dua tangannya dan kaki melecur teruk,” kata Norashahkin Ujang, 52.
Kegembiraan ibu tunggal itu meraikan Aidilfitri kali ini bertukar suram apabila anak lelakinya, Mohd Shafiq Mat Isa, 10, cedera terkena renjatan elektrik dalam kejadian jam 8.35 pagi ketika dipercayai bermain dengan alat kawalan jauh kereta permainannya di Stesen Komuter Sungai Gadut di sini, semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Norashahkin berkata, dia melakukan tugas rutinnya sebagai tukang cuci terkejut apabila melihat mangsa tiba-tiba rebah ke lantai dan pengsan. “Saya memanggil nama Shafiq, namun masih tidak bersahut. Pada waktu itu, seluar dan bajunya terbakar selain berbau hangit pada badannya yang terkulai layu.

“Saya mengoyakkan pakaiannya dan mendapati tangan serta kakinya melecur teruk,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini, semalam.

Norashahkin yang menetap di Taman Senawang Jaya, berkata, selepas lebih lima minit, anak lelakinya sedarkan diri dan menangis.

Saya memaklumkan perkara itu kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Shafiq dikejarkan ke hospital untuk tindakan lanjut.


“Walaupun cedera teruk, namun saya bersyukur kerana dia selamat,” katanya.

Norashahkin berkata, sambutan Aidilfitri kali ini berbeza kerana anaknya itu kemungkinan tidak berpeluang memakai baju Melayu baru.

“Apa yang penting bagi saya adalah Syafiq yang kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad 5D (Unit Rawatan Rapi Bayi HTJS) untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fadzil Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana arus elektrik bervoltan tinggi di kawasan itu bertindak balas dengan alat kawalan jauh berkenaan.

“Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan menyeluruh terutama mengenal pasti bagaimana alat kawalan jauh berkenaan boleh menarik arus elektrik.

“Kami mungkin mengenakan sekatan membawa alat kawalan jauh berkenaan di sekitar kawasan stesen KTMB pada masa depan,” katanya.hmetro

No comments:

Post a Comment