Search This Blog

Monday, August 15, 2011

Anak didakwa ugut ibu

KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang anak mengugut ibunya menggunakan pisau selepas dipercayai khayal menghidu gam di hadapan sebuah rumah di Tapak Perpindahan Tok Adis, di sini, pada 10 Ogos lalu membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melakukan ugutan jenayah.
Akibat pertuduhan itu, tertuduh, Zakaria Awang, 36, yang memakai baju lokap ungu dan berseluar pendek putih berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang dibacakan juru bahasa di hadapan Majistret Noradila Ab Latif dan memohon dibicarakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dengan sengaja melakukan secara jenayah terhadap ibunya, Saadiah Salleh, 66, mengacukan pisau dengan mengugut membunuh di rumah mangsa di Jalan Chempaka Tapak Perpindahan Tok Adis, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 10 Ogos lalu.

Ketika kejadian, mangsa menonton televisyen sebelum tertuduh yang datang dari dapur menuju ke arah mangsa sambil memegang satu tin kecil dipercayai mengandungi gam dan sebilah pisau.

Tertuduh mengacukan pisau dan mengugut membunuh mangsa kerana mendakwa mangsa berbuat jahat dengannya.
Bagaimanapun, mangsa yang berjaya memujuk tertuduh meletakkan pisau yang dipegangnya melarikan diri ke dalam bilik dan menjerit meminta pertolongan jirannya.

Tertuduh ditahan anggota kereta peronda polis (MPV) yang tiba tidak lama selepas itu sebaik menerima maklumat kejadian terbabit sebelum tertuduh dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.-hmetro

No comments:

Post a Comment