Search This Blog

Wednesday, August 10, 2011

‘Adik nak ibu’

IPOH: “Adik nak ibu,” demikian tangisan hiba mangsa tragedi tanah runtuh, Serry Prisila a/p Saari, 15, selepas lebih 24 jam tidak sedarkan diri.
Mangsa yang dirawat di wad 6 B, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tersedar kira-kira jam 7.30 petang kelmarin sebelum bertanya ibunya, Sara Gunung, 35, yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands, Ahad lalu.

Tragedi berdarah itu turut meragut nyawa neneknya, Normadiah Lasik, 69, manakala mangsa dan bapa saudaranya, Bah Anjang a/l Alang, 39, dua mangsa yang berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke HRPB.

Serry yang masih trauma seolah-olah tidak percaya ibunya sudah meninggal dunia walaupun dimaklumkan berulang kali sepupunya, Faridah a/p Bah Anjang, 18.

Dia yang patah tulang bahu dan kaki kanan berulang kali merayu supaya ibunya dibawa melawatnya di hospital berkenaan.

“Saya sayang ibu...saya tak ingat apa berlaku. Saya pengsan selepas rumah kami dihentam batu dan tanah runtuh itu.
“Ketika kejadian, saya baru pulang menghadiri gotong-royong di sekolah sebelum masuk ke bilik air untuk mandi...tiba-tiba saya terpelanting entah ke mana,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, ibunya menonton televisyen di ruang tamu rumah manakala neneknya tidur di dalam bilik.
“Saya hanya dengar bunyi kuat di belakang rumah sebelum saya terhumban ke depan. Kepala saya sakit akibat terhantuk batu yang menyebabkan saya pengsan,” katanya.

Mangsa yang ditemui rakan sekampungnya, Nurfareha Goh, 15, tertanam di dalam tanah selut, bagaimanapun sempat ditarik keluar sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Tanah Rata, Cameron Highlands, sebelum dipindahkan ke HRPB pada malam kejadian.

Ditanya sama ada dia mahu kembali semula ke kampung halamannya selepas sembuh kelak, Serry yang juga dikenali dengan nama ‘Gedek’ menggelengkan kepala.

“Saya rindukan emak...saya mahu dia kembali,” katanya lemah sambil air matanya dikesat Faridah yang menemaninya.

Difahamkan, bapa mangsa dan tiga abangnya masih berada di kampung untuk menguruskan majlis pengebumian ibu dan nenek mangsa.

Sementara itu, jurucakap hospital ketika ditemui berkata, mangsa patah bahu dan kaki kanan manakala tangan kirinya terseliuh.-hmetro

No comments:

Post a Comment