Search This Blog

Monday, August 29, 2011

43 mangsa banjir dipindahkan



KEDAWANG - Hujan lebat yang turun tanpa henti sejak Khamis lalu menyebabkan beberapa kampung sekitar Kedawang dinaiki air.

Berikutan itu, 43 mangsa banjir dipindahkan ke Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang dan Dewan As-Shifa Padang Matsirat untuk menempatkan semua mangsa yang terdiri daripada sepuluh keluarga.

Banjir yang melanda di Kampung Belak, Mukim Kedawang turut menyebabkan seorang ibu yang masih dalam berpantang selepas melahirkan anak keempat terpaksa menumpang berteduh di pusat penempatan banjir.

Halimah Hamad, 39, berkata, dia yang baru melahirkan anak lelaki 28 hari lalu terpaksa akur pada arahan pihak berkuasa berikutan paras air semakin naik.

“Air mula masuk ke dalam rumah kira-kira jam 8 pagi dan menjelang petang, kami sekeluarga diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa ke sini, kerana dibimbangkan keadaan menjadi lebih buruk.

"Walaupun sudah banyak kali berpindah akibat banjir, tetapi ini kali pertama berpindah ketika dalam pantang,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan banjir di Dewan SMK Kedawang.

Menurutnya, dia sekeluarga berharap dapat pulang segera ke rumah bagi memudahkannya mengurus bayi lelakinya, Mohd Haziq Azhar yang memerlukan penjagaan rapi.

Selain anak bongsunya itu, Halimah yang juga suri rumah sepenuh masa turut ditemani suaminya, Azhar Othman, 44, anak-anak, Mohd Hazif, 15, Mohd Hadi, 10, dan Mohd Hakif, 8.

Seorang lagi mangsa banjir dari Kampung Tanjung, Halijah Ahmad, 50, berkata, dia bersama enam ahli keluarga turut berpindah ke pusat penempatan itu.

“Hujan lebat lebih 48 jam menyebabkan sawah dan parit di sekitar kampung gagal menampung pengaliran air yang banyak menyebabkan berlaku banjir,” katanya.

Menurutnya, ketika air mula naik alirannya agak deras sehingga menyebabkan sebuah van terbabas ke dalam sawah ketika pemandunya cuba meredah air.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi, Che Ahmad Che Noor berkata, mangsa-mangsa banjir dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air kira-kira 0.5 meter sejak Khamis lalu.

“Banjir dipercayai berlaku berikutan hujan lebat yang berterusan, selain bertembung dengan air laut pasang. JKM kini bersiap sedia menguruskan makan dan minum serta kelengkapan tidur membabitkan semua mangsa,” katanya.

Adun Kuah, Datuk Ir Nawawi Ahmad turut meluangkan masa meninjau lokasi banjir di Kampung Kedawang untuk memantau bantuan yang boleh dihulurkan JKM kepada penduduk.

No comments:

Post a Comment