Search This Blog

Monday, August 15, 2011

414 orang awam beri rasuah ditahan



KUALA LUMPUR 14 Ogos - Seramai 414 orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cuba memberi rasuah kepada anggota dan pegawai penguat kuasa, sepanjang tahun lalu.
Tiga agensi penguat kuasa yang tertinggi dilaporkan ditawarkan rasuah dalam tempoh itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen.
Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 185 orang awam telah diambil tindakan mahkamah tahun ini.
"Sebahagian lagi, kita masih mengemukakan laporan kepada timbalan pendakwa raya untuk didakwa di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada 37 anggota dan pegawai JPJ yang menolak tawaran rasuah daripada orang awam pada tahun ini.
Menurut Mustafar, beliau berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan kesemua agensi kerajaan yang telah menunjukkan sikap kerjasama dalam mencegah rasuah.
"Malah empat tahun kebelakangan ini menunjukkan trend pemberi rasuah lebih ramai dikenakan tindakan berbanding penerima rasuah khususnya di kalangan pegawai kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji 37 anggota dan pegawai JPJ terlibat kerana telah menunjukkan integriti yang tinggi.
"Sejak tahun lalu seramai 40 orang awam telah ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada pegawai JPJ bagi menutup kesalahan yang dilakukan.
"Malah di atas nilai integriti dan komitmen yang tinggi di kalangan mereka itu juga membolehkan matlamat mengurangkan kadar rasuah dapat dicapai," katanya.-utusan

No comments:

Post a Comment