Search This Blog

Monday, August 15, 2011

4 beradik hilang tempat berteduh



MACHANG - Kemeriahan menyambut Aidilfitri sudah tidak bermakna lagi buat empat beradik yatim piatu di Kampung Hala dekat sini, semalam apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran.

Kebakaran kira-kira jam 8.30 pagi itu bukan hanya memusnahkan tempat berteduh, tetapi juga membawa bersama kenangan ibu bapa mereka.

Salah seorang saudara terdekat, Rahimah Ismail berkata, kejadian itu disedarinya apabila dimaklumkan jiran.

Katanya, walaupun tinggal berdekatan, dia tidak dapat melihat asap akibat kebakaran dan bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan jiran.

“Ketika mak cik sampai, api sudah marak dan dua kanak-kanak yang juga cucu sepupu mak cik sudah keluar daripada rumah. Mujurlah mereka selamat.

“Mak cik difahamkan emak saudara yang juga anak sepupu mak cik pergi ke kedai berdekatan untuk membeli ayam dan meninggalkan mereka di rumah kerana sedang tidur,’’ katanya.

Sinar Harian difahamkan, dua kanak-kanak itu tinggal di Kuala Lumpur dan mengikut emak saudaranya pulang ke kampung pada musim cuti sekolah yang lalu.

Rahimah berkata, rumah itu didiami empat beradik yatim piatu sejak kematian ayah mereka setahun yang lalu.

Katanya, tiga lagi ahli keluarga bekerja dan juga ke sekolah ketika kejadian.

“Entahlah, mak cik sendiri bingung memikirkan nasib mereka selepas ini tambahan pula bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dan yang paling penting, dua yang masih bersekolah itu akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak lama lagi.

“Rumah ini tinggalan kedua orang tua mereka dan mak cik berharap ada pihak sudi membantu membina rumah buat anak-anak yatim ini demi kemudahan dan keselesaan mereka,’’ katanya.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Mohd. Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.42 pagi dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

Katanya, ketika tiba, hampir keseluruhan rumah terbakar dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian.

“Operasi menyelamat dan mengawal kebakaran melibatkan dua jentera dengan kekuatan tujuh anggota bomba.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. Sebagai peringatan bersama, orang ramai terutamanya golongan perempuan diminta peka dengan kerja-kerja memasak yang dilakukan sepanjang bulan puasa termasuklah ketika membuat biskut raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment