Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

200 rumah dilanda banjir

KANGAR - Lebih 600 penduduk di beberapa kampung di sini, panik apabila rumah mereka tiba-tiba dinaiki air sehingga paras betis akibat banjir kilat yang berlaku awal pagi, semalam.

Banjir yang menjejaskan lebih 200 buah rumah dari Kampung Kurung Batang, Kampung Syed Omer, Kampung Hutan Ketiau dan Kampung Sungai Batu Pahat itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat kira-kira jam 3 pagi semalam.

Peniaga kuih kering tradisional, Aisyah Nanyan, 51 berkata, dia percaya banjir kilat itu berlaku disebabkan hujan lebat yang turun bermula ketika keluarganya bangun untuk bersahur kira-kira jam 3.30 pagi hingga 7 pagi.

Menurutnya, akibat hujan lebat berkenaan, air naik begitu pantas sehingga menyebabkan sebahagian penduduk kampung tidak sempat mengalihkan barangan mereka terutama peralatan yang berat dan besar.

Katanya, dia bersyukur kerana beberapa mesin termasuk mesin penipis tepung, mesin uli tepung dan mesin pembungkus berjaya disimpan di bengkel rumahnya berjaya diselamatkan.

“Selain itu, kuih tradisional seperti kuih karas, kuih kapal terbang, kuih loyang dan kuih popia simpul yang sudah disiapkan sejak satu Ramadan juga berjaya diselamatkan,” katanya yang sudah lebih 15 tahun mengusahakan perniagaan itu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Nishad Mohamed Mohd. Shaffy berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku awal pagi semalam itu dipercayai berpunca dari hujan lebat.

Malah, berdasarkan warna air yang seakan-akan kekuningan itu, pihaknya percaya banjir yang berlaku itu juga boleh dikaitkan dengan faktor hakisan tanah dan projek di sekitar Batu Pahat di sini.

Ir Nishad berkata, penduduk diingatkan untuk tidak mengaitkan kejadian banjir itu dengan Empangan Timah Tasoh kerana paras air di empangan ketika itu berada pada paras rendah iaitu 28.84 meter iaitu bawah paras normal 29.1 meter.SH

No comments:

Post a Comment