Search This Blog

Tuesday, August 30, 2011

2 keluarga sambut raya tanpa rumah

KOTA BHARU: Aidilfitri tahun ini tidak membawa sebarang makna kepada dua keluarga apabila kediaman berkembar yang disewa bersama 18 orang menjadi arang sekelip mata selepas hangus dalam kebakaran di Wakaf Mek Zainab, dekat sini, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.50 pagi menyebabkan kemeriahan menyambut Aidilfitri keluarga terbabit bertukar hambar sebaliknya hanya linangan air mata menjadi pengganti kerana semua harta benda hangus termasuk pakaian dan kuih raya.

Menurut mangsa kebakaran, Rozali Abu Bakar, 58, ketika kejadian dia dan beberapa ahli keluarga berada di rumah, manakala anak dan cucu yang lain keluar ke bandar untuk membeli lauk sebagai juadah berbuka puasa.

“Saya ketika itu berada dalam bilik air dan terasa bahang panas menyebabkan saya bergegas keluar. Saya terkejut apabila melihat api keluar dari celah dinding dan mengarahkan anak serta ahli keluarga lain yang berada dalam rumah keluar menyelamatkan diri.

“Semua pakaian raya milik anak dan cucunya yang baru pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri hangus dijilat api dan kini kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Katanya, kebanyakan anaknya tinggal di luar Kelantan termasuk di Kuala Lumpur dan baru tiba di rumah itu petang kelmarin, selain mereka sekeluarga merancang berbuka puasa bersama.


Rozali berkata, semua persiapan menyambut Aidilfitri musnah, tetapi tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

Dia yang bekerja sebagai tukang gunting rambut berkata, keluarganya reda dengan apa yang berlaku dan mungkin sudah ditakdirkan tiada rezeki pada kali ini.

“Saya juga sedih kerana anak-anak yang baru pulang tidak dapat menyambut Aidilfitri termasuk cucu yang begitu ceria untuk beraya di kampung,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Wan Halimah Wan Hasan, 44, berkata dia yang berada di halaman rumah bersama seorang kanak-kanak, Norshahira Anuar, 2, yang dijaganya terkejut sejurus dimaklumkan jiran mengenai kebakaran rumahnya itu.

Katanya, dia cuba masuk ke dalam rumah tetapi gagal kerana api marak dengan pantas dan hanya sempat mengambil beg tangan yang berada di ruang tamu.

“Semua pakaian hari raya termasuk milik anak tunggal, Maziana Mohamad, 23, juga hangus,” katanya.

Wan Halimah berkata, ketika kejadian suaminya, Mohamad Nor Yusof, 60, tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai pembantu kedai di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dekat sini. Dalam perkembangan berkaitan seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Kota Darulnaim dan Pengkalan Chepa bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.52 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Wan Hasan Wan Idris, berkata ketika tiba di tempat kejadian hampir keseluruhan rumah terbabit terbakar dan pasukannya mengambil masa 15 minit untuk mengawal api di rumah berkenaan.

“Jumlah kerugian dianggarkan RM100,000 manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
bharian

No comments:

Post a Comment