Search This Blog

Wednesday, August 3, 2011

15 hilang tempat tinggal

PASIR MAS – Seorang nenek nekad menyelamatkan dua cucunya yang berusia 11 bulan dan empat tahun apabila rumah yang didiami sejak 40 tahun lalu di Kampung Kasar, terbakar pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Mangsa, Zawiyah Che Kar, 60, berkata, dia terdengar tangisan cucunya yang baru sahaja pulang dari sekolah, Mohd. Wafi Azlan, 6, menjerit kerana terdapat api mula menyambar di bilik hadapan rumahnya.

“Ketika itu, makcik sedang memasak untuk sajian cucu-cucu yang akan pulang dari sekolah, namun terpaksa mendukung Norsila Mohd Faizal, 11 bulan yang sedang tidur bersama Juwita Sabila Azlan, 4 dan Wafi.

“Tiada apa yang boleh makcik lakukan, mahupun mengambil dokumen yang penting, kerana keselamatan cucu-cucu lebih penting daripada segala-galanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, suaminya, Zakaria Awang Kechik, 60, berkata, ketika kejadian, dia berada di bandar dan tidak sempat membeli juadah berbuka puasa apabila, anaknya menghubunginya mengenai kejadian yang menimpa mereka tengah hari itu.

“Semua kelengkapan rumah, barang kemas milik isteri, kereta proton saga pakcik dan motosikal EX-5 milik menantu hangus dalam kebakaran ini.

“Kerugian mungkin mencecah sehingga berjumlah RM90,000 memandangkan empat anak pakcik bersama menantu dan lima cucu turut sama menginap di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Pasir Mas, Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari.

“Kita bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera bersama lima anggota, dan kita dapati rumah tersebut terbakar hampir 100 peratus.

“Tiada kemalangan maut dilaporkan, dan punca serta kerugian yang ditanggung masih lagi dalam siasatan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment