Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Warga emas kena rempuh



KOTA BHARU - Seorang warga emas mati selepas hampir tujuh jam terbabit dalam kemalangan yang membabitkan basikal dan motosikal dalam kejadian di Kampung Kedai Lalat, dekat sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi, ketika mangsa Ismail@Yusoff Mohd Salleh, 71, mengayuh basikal bersendirian dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh.

Ismail yang hanya mengalami luka tangan dan bengkak dahi selepas di langgar motosikal yang ditunggangi kenalannya berusia 80-an, sempat berjalan kira-kira 200 meter untuk pulang ke rumah dan menceritakan kejadian kepada anak bongsunya, Mohd Izwan, 27, yang ketika itu berada di rumah.

Dalam kejadian itu, penunggang motosikal terbabit turut mengalami kecederaan parah dan kini masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Anak sulong mangsa, Mohd Hafzan, 50, yang juga seorang guru, berkata, bapanya disahkan mati kira-kira jam 4 petang setelah mengalami sesak nafas ketika sedang tidur di rumahnya selepas beberapa jam dirempuh motosikal terbabit.

Mohd Hafzan berkata, sebaik kejadian itu, bapanya sempat menceritakan kejadian kepada adiknya yang ketika itu berada di rumah, sambil tertanya-tanya kenapa kenalannya iaitu penunggang motosikal terbabit melanggarnya.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 11 pagi, selepas dihubungi oleh adik saya memaklumkan mengenai kejadian itu dan saya dimaklumkan selepas kejadian, bapa saya enggan menerima rawatan di hospital dan saya berhajat akan menghantarnya ke hospital selepas mengajar kerana kecederaannya dijangkakan tidak begitu serius.

“Selepas bersarapan, saya diberitahu, bapa saya sempat tidur dan sedar waktu tengah hari. Pada masa sama bapa saya mengalami muntah-muntah dan sesak nafas sebelum disahkan mati,” katanya.

Menurutnya, bapanya kemungkinan mengalami kecederaan dalaman dan pihak hospital yang tiba di rumah untuk melakukan pemeriksaan kemudian mengesahkan bapanya sudah mati.

“Mayat bapa saya kemudian dibawa ke HUSM Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian dan sebelum ini arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan kerana asyik berkebun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan terima laporan kejadian itu.
SH

No comments:

Post a Comment