Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Warga Afrika miliki barang curi



KUALA LUMPUR – Seorang daripada lapan suspek lelaki warga Afrika berjaya ditahan kerana memiliki barangan curi termasuk bedak bayi dianggarkan bernilai RM200,000 disyaki untuk dieksport ke negara asal mereka.

Turut ditahan dalam serbuan yang dijalankan di sebuah gudang simpanan di Taman Fadason, Jinjang pada Selasa lalu, adalah dua wanita tempatan masing-masing berusia 44 dan 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika serbuan dibuat jam 12.30 tengah hari itu, tujuh lelaki yang menyedari kehadiran polis sempat meloloskan diri, manakala seorang daripada mereka berusia 25 tahun berjaya ditangkap bersama dua wanita terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan dalam gudang simpanan mendapati terdapat beberapa pembahagian atau lot kecil dibuat khas untuk disewakan kepada orang lain.

“Gudang simpanan itu disewa wanita tempatan berusia 44 tahun daripada individu lain, sebelum menyewakan satu lot kecil dalam premis kepada suspek lelaki Afrika itu sejak enam bulan lalu.

“Kita jumpa pelbagai barangan elektrik antaranya lapan komputer paparan cecair kristal pelbagai jenama, televisyen (11), mesin basuh (1), peti ais (1), pencetak (1) dan radio (1),” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Kepong, semalam.

Zakaria berkata, pemeriksaan lanjut di lot yang disewa suspek itu turut menemui sebanyak 103 kotak besar yang setiap satunya berisi 24 botol bedak bayi.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, suspek mengaku membeli barangan elektrik terbabit daripada kedai menjual barangan lusuh, sebelum dieksport menggunakan kontena ke negara asalnya untuk dijual.

Katanya, semakan ke atas barangan elektrik dirampas mendapati ia barangan curi yang dijual kepada kedai menjual barangan lusuh terbabit.

Menurutnya, bedak bayi itu adalah bedak yang dikilangkan di Bukit Jelutong, Shah Alam dan sepatutnya dihantar ke Johor Mei lalu.

“Kita percaya pemandu lori yang sepatutnya menghantar bedak bayi itu pecah amanah dan menjual stok bedak terbabit kepada suspek lelaki Afrika. Lori menghantar stok barangan itu dijumpai di Perak, manakala pemandu lori menghilangkan diri,” katanya.

Zakaria berkata, siasatan ke atas suspek lelaki Afrika itu menunjukkan dia tidak mempunyai dokumen perjalanan diri walaupun mendakwa datang ke negara ini untuk belajar.

“Kita siasat mengikut Akta Imigresen dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana mempunyai barang disyaki curi,” katanya.

Menurutnya, dua wanita tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
SH

No comments:

Post a Comment