Search This Blog

Wednesday, July 13, 2011

Wanita parah disimbah asid

AMPANG: Seorang wanita cedera parah di muka dan tangan apabila disimbah asid dalam kejadian samun di Jalan Taman Muda, Ampang, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa bersama rakannya yang bekerja sebagai jururawat baru habis bekerja dan ingin pulang ke rumah namun ketika tiba di tempat kejadian, tayar kereta dinaiki tiba-tiba pancit.


Menurut sumber, mangsa dan rakannya kemudian memberhentikan kenderaan mereka untuk menukar tayar.

“Selepas 20 minit, muncul dua lelaki tidak dikenali menghampiri mereka.


“Seorang daripada lelaki terbabit mengeluarkan botol dari poket seluarnya dan menyimbah ke muka mangsa,” katanya.


Sumber berkata, mangsa meraung kesakitan apabila cecair itu menghakis kulitnya sementara rakannya yang terkejut cuba membantu.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan suspek terus masuk ke dalam kereta mangsa sebelum beredar meninggalkan mangsa yang kesakitan dan rakannya yang terpinga-pinga.


“Mujur ketika itu sebuah teksi melalui kawasan itu dan membantu membawa mangsa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan,” katanya.

Keadaan mangsa dilaporkan kritikal dan muka serta tangannya melecur teruk.


Rakan mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Pandan Indah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | Wanita parah disimbah asid

No comments:

Post a Comment