Search This Blog

Sunday, July 17, 2011

Wanita hamil lapan bulan maut



KULIM - Seorang wanita yang sarat mengandung maut manakala suami dan pembantunya cedera apabila kederaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, Shalini Mohd Yusof, 26, mati di tempat kejadian, manakala suaminya Norhusaini Normadi, 26, dan pembantunya Hamdan Abdullah, 61, cedera parah dan dirawat di Hospital Kulim.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu Norhusaini dirempuh sebuah lori pasir ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Tayar lori pasir yang datang dari Taman Angsana itu meletup sebaik tiba di selekoh Taman Selasih mengakibatkan lori terbabit hilang kawalan lalu merempuh kenderaan mangsa.

“Kejadian itu menyebabkan pasir yang dibawa lori terbabit tumpah di atas jalan raya lalu menimbus Toyota Hilux itu,” katanya, semalam.

Difahamkan, ketiga-tiganya dalam perjalanan ke masjid Junjung untuk menghantar makanan.

“Jentolak digunakan untuk mengangkat lori yang menghempap kenderaan terbabit.

“Pasukan bomba terpaksa memotong bumbung kereta itu untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang dan berada dalam keadaan tertiarap serta ditimbus pasir,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa yang hamil lapan bulan maut kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Lebih menyedihkan, bayi dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Ghuzlan berkata, polis akan menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.
SH

No comments:

Post a Comment