Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Treler rempuh belakang treler

SEREMBAN 22 Julai – Seorang pemandu dan kelindan sebuah treler maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang sebuah lagi treler membawa muatan kereta Proton di Kilometer 264.6, Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum susur keluar Seremban arah selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, pemandu treler membawa muatan gelung besi iaitu M. Mayandy, 38, dan kelindannya, B. Ravi, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut jurucakap polis, kemalangan berlaku apabila sebuah treler membawa muatan lapan buah kereta jenis Proton Persona berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan tayar.

Katanya, selepas beberapa minit berhenti, tiba-tiba treler dipandu Mayandy merempuh belakang kenderaan berat itu.

“Rempuhan itu mengakibatkan treler dipandu mangsa terbabas ke dalam parit di bahu jalan bersama muatan gelung besi yang dibawa.

“Kedua-dua mangsa yang berasal dari Simpang Renggam dan Segamat, Johor meninggal dunia di tempat kejadian manakala bahagian hadapan lori yang mereka naiki remuk teruk,” katanya di sini, hari ini

Kemalangan itu turut menyebabkan lebuh raya menghala ke selatan sesak teruk sehingga ke Nilai akibat kerja-kerja mengalih gelung besi yang terjatuh di lebuh raya berkenaan.

Tambah jurucakap berkenaan, Mayandi tersepit di tempat duduk pemandu manakala kelindannya tercampak keluar dari kenderaan itu.

“Beberapa kereta Proton yang dibawa oleh treler yang dilanggar itu turut mengalami kerosakan teruk akibat rempuhan tersebut,” katanya.

Sementara itu, kelindan lori yang membawa muatan kereta tersebut, Mohd. Izad Mohd. Tap, 25, berkata, ketika kejadian dia bersama pemandu, Mohd. Zainal Bani, 35, sedang memeriksa kenderaan mereka yang rosak sebelum terdengar bunyi letupan kuat di belakang.

“Terkejut dengan bunyi kuat itu, saya segera melarikan diri ke kawasan parit di tepi lebuh raya. Tidak lama kemudian, saya lihat sebuah lori treler merempuh belakang kenderaan kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja‘afar untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment