Search This Blog

Thursday, July 21, 2011

Transit dadah

KOTA BHARU: Enam individu termasuk seorang lelaki berusia 24 tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah hotel di sini, kelmarin, dipercayai menjadikan hotel itu transit pengedaran dadah di Thailand dan Malaysia.

Polis Kelantan percaya sejumlah dadah ditemui di dalam bilik hotel ketika serbuan dilakukan adalah untuk pasaran negara ini dan Thailand.


Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan kelmarin, polis merampas sejumlah syabu, pil kuda, Eramin 5, heroin dan pil Ecstasy bernilai kira-kira RM60,000 mengikut pasaran tempatan.

Katanya, dalam serbuan itu, polis juga merampas wang tunai dalam mata wang ringgit sebanyak RM26,600 dan Bhat Thailand 640,000 (RM64,000).


“Kami percaya ada dadah dirampas itu untuk dijual di Thailand seperti pil Ecstasy dan syabu manakala heroin dan pil kuda akan dijual di negara ini.


“Semua yang ditahan kemungkinan sudah lama mengedar dadah. Polis mengintip pergerakan mereka sejak beberapa bulan lalu sehingga mereka ditangkap dan kami percaya ini melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Kelantan, di sini, semalam.

Menurut Mazlan, semua lima individu berusia antara 27 dan 48 tahun yang ditahan termasuk seorang wanita, dipercayai pengedar dadah tempatan.

Katanya, mereka direman tujuh hari bermula semalam.

“Polis akan menyiasat mengikut Akta 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1962 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati.


“Wang yang dirampas disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Hak Harta) 1988,” katanya. Mazlan berkata, lima yang ditahan positif dadah manakala dua didapati mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah.


“Mangsa yang maut terjatuh ketika serbuan dilakukan juga positif dadah serta mempunyai kesalahan lampau,” katanya.


Menurut Mazlan, siasatan yang dijalankan juga mendapati dua lelaki yang ditahan dipercayai kakitangan hotel berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rakan mereka untuk membantu siasatan.


Katanya, lelaki yang terbunuh akibat terjatuh itu ketika cuba melarikan diri dalam serbuan kelmarin dikenali sebagai Tengku Mohd Habib Tuan Yazib. Semalam, Harian Metro melaporkan cubaan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai pengedar dadah melepaskan diri daripada polis membawa padah apabila maut selepas terjatuh dari ketinggian 18 meter di sebuah hotel, di sini.

myMetro | Transit dadah

No comments:

Post a Comment