Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Tiga penjawat awam berdepan tuduhan rasuah



JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes tiga penjawat awam yang dituduh meminta rasuah daripada seorang pemilik kedai runcit daripada diambil tindakan kerana memiliki rokok seludup.

Hakim Madihah Hairullah menetapkan tarikh itu berserta wang jaminan berjumlah RM6,000 setiap seorang, selain meminta penjawat awam terbabit tampil bersama peguam masing-masing selepas mereka tidak mengaku salah di atas kesalahan yang dilakukan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang berpangkat pegawai bagi cawangan salah sebuah badan berkanun sekitar bandar raya ini secara rasuah meminta suapan berupa wang tunai RM500 pada jam kira-kira 2.41 petang, 30 Oktober 2010.

Suapan yang diterima itu diminta sebagai dorongan supaya penjawat awam terbabit tidak melakukan sesuatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal bidang tugas iaitu tidak mengambil tindakan ke atas pemilik kedai runcit di Taman Ria, Masai, kerana memiliki rokok seludup.

Tindakan itu sekali gus merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) yang dibacakan bersama Seksyen 28 (a) (c) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pada prosiding sama, salah seorang tertuduh turut berdepan dengan tuduhan meminta suapan berupa wang tunai RM1,000 daripada pemilik kedai berkenaan pada tarikh dan lokasi sama kira-kira jam 2.20 petang.

Permintaan suapan bagi tujuan sama itu sekali gus adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (B) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

:Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noorfazlin Hamdan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
SH

No comments:

Post a Comment