Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

Suspek rompakan kecundang



TAMPIN – Dua suspek disyaki terbabit dalam tiga kes rompakan di lokasi berbeza berjaya diberkas polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, kira-kira 12 tengah hari, kelmarin.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 37 tahun itu dikatakan baru sahaja merompak warga asing dengan menyamar sebagai pegawai imigresen di Hutan Percha, Alor Gajah kira-kira jam 11 pagi sebelum berjaya dicekup pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata melalui penangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan dua kes yang mempunyai modus operandi serupa di Tampin dan Gemencheh, manakala satu lagi di Hutan Percha, Alor Gajah.

“Kita berjaya menangkap kedua-dua suspek hasil maklumat yang diterima daripada orang awam serta rasa sangsi anggota kita yang sedang membuat rondaan di jalan utama Tampin-Gemas.

“Pada mulanya anggota kita mengarahkan kedua-dua suspek yang ketika itu menaiki dua motosikal untuk memberhentikan kenderaan, namun kedua-duanya enggan sehingga berlaku aksi kejar-mengejar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Tampin, semalam.

Kooi Cheang berkata, bagaimanapun polis berjaya menahan kedua-dua suspek berkenaan dan hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan didapati kedua-duanya positif dadah.

Susulan penangkapan berkenaan, polis berjaya merampas beberapa barangan antaranya tiga buah motosikal, lima buah telefon bimbit, lambang badan beruniform, dan senjata yang digunakan.

Menurutnya, kedua-dua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah yang mana suspek berusia 34 tahun yang ditangkap mempunyai empat rekod kesalahan lampau.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.
SH

No comments:

Post a Comment